top of page

ARTIFAK PENINGGALAN MASYARAKAT IBAN 2.0

Berdasarkan informasi yang diperolehi daripada hasil temu ramah salah seorang wanita merangkap tuai rumah di kampung ketimbung tersebut , Langgui Anak Sungai berumur 65 tahun dan berbangsa iban, beliau menyatakan bahawa terdapat beberapa barang lama atau artifak yang diwarisi kaum iban sejak generasi ke-4 iaitu Tajau, Tawak, Batu Intan, Tajau berbentuk Gajah, ‘niat’ dan ‘kebaya’. Ia diwarisi dari datuk moyang. Artifak-artifak merupakan alatan yang berharga dan perlu dijaga dengan baik. Artifak tersebut juga memiliki fungsi dan kegunaannya yang tersendiri.


Tajau

Tajau secara umumnya dikhaskan untuk menyimpan beras, ‘tuak’, arak, kuih dan air yang ditimbah dari sungai atau telaga. Namun, mengikut kefahaman orang tua dahulu, beras tidak boleh disimpan sembarangan seperti disimpan dalam tong atau bekas tin kerana boleh menyebabkan amalan pembaziran. Selain itu, mengikut kefahaman juga, corak pada tajau dapat membezakan fungsi dan keistimewaan tajau tersebut. Sebagai contoh tajau yang bercorak figura manusia adalah lebih bersifat mistik dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Tajau juga digunakan dalam upacara khas ritual kaum iban. Tajau akan diberi makan mengikut adat lama masyarakat iban iaitu ‘miring lapan kali lapan’. Upacara dilakukan semasa menyambut hari Gawai dan selepas tuaian padi baru. Dalam adat ‘Miring’ bahan yang digunakan ialah setupat atau ketupat berbentuk bulat dan bersaiz kecil serta bilangan 8 biji kuih jala, ‘tumpik’, penyaram dan telur. Tajau mempunyai 4 buah yang dibahagi kepada 4 adik beradik. Menurut alkisah, iaitu ibu (sudah meninggal) kepada informen menyatakan ada seekor gajah yang duduk di atas penutup tajau tersebut. Kemudianya didatangi dengan seekor ayam yang tidak dikenali spesies telah membawa penutup tajau tersebut terbang. Malangnya, penutup itu jatuh dan lalu pecah.


Tawak

Seterusnya, Tawak. Menurut masyarakat Iban, Tawak dikhaskan untuk upacara persembahan adat lama masyarakat Iban, upacara perkhawinan, tarian ngajat dan sambutan Hari Gawai. Dalam upacara persembahan tersebut selain tawak terdapat beberapa alatan lain yang turut digunakan seperti engkerumong, gong, bebendai dan ketebong. Ketawak atau gong biasanya digunakan dalam upacara perkhawinan, ngajat dan ketika ada orang meninggal. Dalam adat perkhawinan, pengantin akan duduk di atas ketawak atau gong untuk meminta restu manakala dalam upacara meninggal ia akan dibunyikan sebanyak 7 kali untuk menandakan adanya orang meninggal pada waktu itu. Engkerumong, bebendai dn ketebong pula lebih digunakan semasa Hari Gawai. Tawak perlu dicuci menggunakan limau dalam air rendaman semalaman.

Batu intan pula, digunakan oleh kaum Iban untuk mendapatkan hasil yang lumayan. Selain itu, tajau berbentuk Gajah juga digunakan untuk mendapatkan keuntungan dan hasil yang lumayan. ‘Niat’ pula digunakan untuk membuat permintaan atau dalam erti kata lain disebut sebagai ‘wishes’. Kebiasaannya ‘niat’ adalah berdasarkan permintaan seperti meminta anak, menjadi lebih sihat, menjadi pandai, meminta tiket (4D), meminta menjadi kaya dan lain-lain.

Akhir sekali, ‘Kebaya’. Ia merupakan barang lama yang dibawah oleh si mati. ‘Kebaya’ biasanya akan diletakkan di samping si mati. Barang seperti baju, duit, cincin emas dan barang-barang lama lain disebut sebagai ‘Kebaya’.




コメント


bottom of page