top of page

ASAL USUL MASYARAKAT IBAN

Negeri Sarawak mempunyai 23 etnik utama dan berpuluh-puluh lagi suku kaum pribumi kecil-kecil yang kesemuanya menganut pelbagai agama, kepercayaan dan mempunyai adat resam serta budaya masing-masing


Masyarakat Iban di Kawasan Kampung Ketimbong


Suku kaum Iban ialah penduduk pribumi yang terbanyak di Sarawak yang dikenali sebagai Bumi Kenyalang (Numpang, 1989). Pada zaman pemerintahan Rajah Brooke, Sarawak disebut sebagai Bumi Pemotong Kepala. Negeri Sarawak mempunyai 23 etnik utama dan berpuluh-puluh lagi suku kaum pribumi kecil-kecil yang kesemuanya menganut pelbagai agama, kepercayaan dan mempunyai adat resam serta budaya masing-masing menuturkan bahasa dan dialek yang berbeza-beza mengikut daerah-daerah kediaman mereka di kawasan luar Bandar pendalaman.

Dua puluh tiga etnik bumiputera yang utama di Sarawak ialah Dayak Iban (Iban Skrang, Iban Miri-Bintulu-Limbang, Iban Saribas, Iban Batang Rajang, Iban Undop, Iban Lemanak dan Iban Malikin), Melanau (Seduan, Segalang, Belium, Bintulu, Segahan, Matu/Mato Daro, Oya, Mukah, Rejang, Igan, Siteng, Tatau, Balingian, Kanowit, Sekapan, Kejaman, Lahuna, Banyok), Bidayuh (Orang Biatah, Bukar-Sadong, Bau-Singghi-Jagoi, Selakau dan Lara, Kenyah (Orang Batu Biah, Murik, Lisong, Sebob, Sipang, Long Kipat, Lepu Aga, Lepu Tau, Nyamok dan Uma Kulit), Melayu, Kedayan, Belait, Sebuyau, Kayan, Punan, Penan (Kumpulan yang masih Nomadik), Tebun, Bukat/Ukit, Bisaya, Baketan, La’en, Tagal, Sian/ Sa’an, Lugat, Lisum, Kelabit, Lun Bawang/ Lun Dayeh (Murut). Kumpulan-kumpulan kaum ini tinggal di kawasan tanah rendah dan bahagian darat, kawasan tanah tinggi dan kawasan pesisir. Masyarakat Dayak Iban tradisional adalah penduduk pribumi yang paling dominan di Sarawak, diikuti oleh Dayak Bidayuh, kaum Melayu-Melanau dan lain-lain kumpulan etnik di atas yang dikenali sebagai Orang Ulu.

Orang Iban tradisional dikenali sebagai Dayak Laut dan mereka berasal dari Kalimantan, Indonesia tetapi berpindah mereka ke Sarawak pada masa hamper sama dengan kedatangan bangsa Eropah ke Asia Tenggara (Kedit, 1984). Mereka memasuki Sarawak melalui Batang Air Kapuas, jalan masuk paling mudah bagi melintasi sempadan Sarawak-Kalimantan (Jensen, 1966). Pada asalnya, menurut Sandin B (1956), Sengalang Burung (nenek moyang Orang Iban) dengan pengikutnya telah menduduki sepanjang kawasan Sungai Kapuas dan anak-anak sungainya di barat daya Pulau Borneo. Tetapi kemudian cucu Sengalang Burong yang bernama Sera Gunting lebih gemar mendiami Banjaran Tiang Laju di bahagian barat Pulau Borneo (Sarawak). Bagaimana pun, Sengalang Burong mengadakan persidangan dengan anak-anak buahnya di Merakai (salah sebuah anak Sungai Kapuas) untuk merancang perpindahan ke Batang Ai.

Sejarah telah menunjukkan bahawa masyarakat Iban berasal dari Kapuas, Indonesia (Richards, 1949) tetapi berpindah dari sana dan mula menetap di Kumpang (tempat tinggal mereka yang pertama di Sarawak). Sebahagian daripada mereka pula dipengaruhi oleh seorang pemimpin kaum Iban yang bernama Lelang Belayan untuk mengubah haluan ke hulu sungai Kumpang yang menghala ke Lubok Antu dan Engkelili lalu menetap di kawasan Sungai Batang Lupar yang lebih dikenali sebagai Batang Ai (Batang Air). Dari Batang Ai, suku kaum Iban berpindah ke anak-anak sungai di Ulu Ai dan membuat rumah panjang mereka di Delok, Mepi, Jinggin, Engkari, Skrang dan Lemanak. Namun Demikian, ramai di antara mereka yang berpindah lagi lalu menetap di Sungai Undup dan Wong Tempangau (Sandin B, 1994) di bawah pimpinan Kajup, dan mereka kini dikenali sebagai Iban Undup (diasosiasikan dengan nama tempat tinggal mereka). Kelihatannya, perpindahan awal Dayak Iban adalah amat berselerak di kawasan hulu sungai Batang Lupar dan Batang Saribas (Vinson, 1989) di Bahagian Sri Aman, dan perpindahan mereka ini telah berlaku sejak abad ke 19 dari Hulu Batang Lupar melalui sempadan Kalimantan menuju ke kawasan Rejang. (Victor, 1985).



Kawasan Rumah Panjang



Recent Posts

See All

Comentarios


bottom of page